Sunday, September 6, 2015

Bersih Jiwa Dompet Selamat

Apa mimpi kawan sekerjanya hari ini.  Hamid diajak bersarapan pagi disebuah warung.  Sungguh enak menikmati Nescafe dan roti sardin,  setelah bertahun lamanya nafsunya terpaksa ditahan.  Bukan kerana tidak ada wang,  tetapi dia mahu berjimat sedaya mungkin.

Sejak bercerai beberapa tahun lalu.  Anaknya dipelihara oleh ibunya di kampong,  nun jauh di utara tanah air.

Dengan berkelulusan SRP.  Apa yang boeh diharapkan sangat dengan sijil setaraf itu.

Sewaktu enak menghirup Nescafe itulah,  dia ternampak seorang lelaki telah tercicir dompet. 

Terus di bergegas ke arah lelaki yang telah menaiki sebuah kereta mewah.  Pintu kereta ditutup rapat dan kereta terus bergerak.

Hamid tiba,  namun terlewat untuk menahan kereta yang telah memecut dan hilang entah kemana.


Diambilnya dompet itu.  Memang tergamam.  Penuh berisi wang ringgit dan segala macam kad kredit.

Disimpannya dompet itu.  Dan Hamid kembali semula ke meja untuk menyambung sarapan yang tertangguh.

"Engkau kemana tadi?"  soal rakannya.

"Aku ingat kawan lama aku tadi,  rupanya orang lain ..."   Hamid menipu kawannya untuk menutup satu rahsia besar.

Malam itu.  Hamid terbaring sambil termenung panjang.  Memikirkan samada mahu memulangkan dompet itu ataupun tidak.

Hampir RM5 K didalam dompet itu.

Seketika hatinya berhasrat untuk memulangkannya.  Sedetik lagi,  iblis  menghasutnya supaya menggunakan sahaja wang itu.

"Kamu bukan mencuri,  orang itu yang cuai."  bisikan halus iblis terus bermain di hatinya.


Sewaktu berkalih badan.  Hamid terpandang telefon bimbitnya.  Terus fikirannya teringat kepada puteri tunggalnya yang berada di kampong.

Laju sahaja jarinya menekan nombor ibunya.


"Assalamu'alaikum mak.  Mak apakhabar ?"

"Alaikumsalam,  kenapa suara kamu lain macam saja ?  Hamid ingat pesan mak,  bila kita ada masalah,  buat solat Istikharah .."

Mereka berbual seketika cuma.  Hamid bercakap pula dengan Najwa.

Puteri tunggalnya itu semakin bijak menjaga diri sejak mereka berpisah.


Usai bercakap.  Talian ditamatkan.

Hamid terus ke bilik air dan berwuduk.

Usai solat Istikharah.  Hamid terus berzikir dan berdoa memohon petunjuk dari Allah.

Tubuhnya terasa teramat letih.  Sambil biji tasbih masih ditangannya.  Hamid terus beristighfar dan berselang seli dengan selawat ke atas nabi Muhammad.

Dia terus terlelap. 

Pagi itu. Sewaktu hendak mengambil motor di kawasan parkir.  Berdiri seorang lelaki.  Sungguh segak disisi motornya.

"Maaf ya tuan,  saya nak ambil motor saya."  Hamid mohon lelaki itu untuk mengambil motornya.

"Ini motor saudara?"   soal lelaki itu lagi.

"Ya,  kenapa?"   Hamid kehairanan.

"Maaf ya  sebenarnya sewaktu saya mengundurkan kereta saya tadi,  saya telah terlanggar motor saudara,  tengok,  kan plat sudah patah."   lelaki itu mendedahkan apa yang berlaku.

Barulah tergerak di hati Hamid untuk melihat ke belakang.   Memang betul,  plat motornya telah patah.

Terus sahaja lelakI itu menghulurkan wang sebanyak RM50.  Tetapi ditolaknya dengan baik.

"Plat ini lebih kurang RM15 sahaja tuan."   Hamid jujur menerangkan harga plat itu.


"Tidak mengapa,  saya belanja saudara,  saya sudah tanya orang di surau tadi,  mereka yang memaklumkan saya tentang saudara,  ambillah,  saya sudah buat salah."


"Tuan sungguh berbudi bahasa,  maaf saya tak sampai hati nak terima..."

"Ambillah,  saya ikhlas,  ambil ...."  


Sebaik wang itu diterimanya.  Lelaki itu terus beredar dari situ.


Seharian bekerja membersihkan kawasan sekitar kota raya.  Hamid terfikir tentang budi bahasa lelaki itu.

'Bukan semua orang kaya sombong.'   gumam Hamid sendirian.


Akhirnya,  selesai sahaja tugasannya petang itu.   Hamid terus memecut ke arah Damansara.


Tujuannya hanya satu.  Mencari alamat tuan punya dompet itu.  Dan mahu diserahkan kembali dompet itu.

Hatinya tidak akan senang selama dompet itu bersamanya.  Lagipun,  wang yang ada didalam dompet itu tidak halal untuk digunakannya.

Hampir sejam berpusing mencari alamat yang tertera pada Mykad.  Akhirnya,  Hamid sampai ke rumah itu.

Hampir 15 minit menekan loceng.  Tidak ada jawapan.  Hamid keletihan menunggu.

Setelah berfikir panjang dan semasak-masaknya.  Akhirnya Hamid mencampakkan dompet itu ke dalam peti surat.


Dia pulang dengan rasa kelegaan yang tidak terkata.


'Tanggungjawab aku selesai!'  bisik hati Hamid.


Di banglo mewah.   Zulkifli yang keletihan terus terduduk di sofa mewahnya.  Melepaskan lelah.


"Bang,  alhamdulillah,  baru sampai ?   Bang,  ada berita baik,  bang tahu tak,  ada orang dah hantar balik dompet abang yang tercicir 2 hari lepas."   Husna menceritakan berita gembira itu kepada suami tersayang.

Terus sahaja Zulkifli terbangun kerana terkejut dengan khabar baik yang diterimanya.

Dia terus mengambil dompetnya yang diserahkan oleh isterinya itu.

"Ya Allah,  jujur betul orang yang hantar,   satu sen pun tak hilang."  

"Ha,  kereta abang macam mana ?"   Husna bertanya lagi.

"Alhamdulillah,  tak nampak sangat calarnya,  kira ok lah,  lagipun cuma terlanggar belakang motor orang di flat itu sahaja,  cuma platnya sahaja yang patah,  orang tu pun nampak jujur."  


Zulkifli dan Husna saling berpandangan dan tersenyum kelegaan dengan segala yang berlaku.  Dengan bersedekah RM50.   Dompetnya yang berisi wang sebanyak RM5,000 dikembalikan dengan selamat oleh orang  yang tidak dikenalinya.

No comments:

Post a Comment