Sunday, September 6, 2015

Satu Kehilangan Dalam Keriuhan.



"Alah Zainab,  bukannya selalu kau bagi anak-anak kau berjalan.  Bukannya jauh, ke tapak pesta je."

Lama juga Zainab mendiamkan diri,  sambil melayan pelanggan di warungnya.

"Engkau pun tahu kan,  apa sahaja yang aku buat,  semuanya kena berjimat, hujung bulan depan dah buka sekolah."   akhirnya Zainab meluahkan ketidak mampuannya dari segi kewangan.


"La?  itu yang kau bimbangkan? kamu jangan takut,  aku yang tanggung semuanya ... insyaAllah."   Hezren memberikan jawapan yang melegakan Zainab.

Petang itu,  Zeila dan Zaki tidak dapat memendam rasa seronok dan teruja kerana diberikan kebenaran untuk pergi ke pesta yang diadakan tidak jauh dari rumah mereka.



"Ingat,  jangan biarkan Zaki jalan seorang diri!"   begitu pesanan dan amaran dari Zainab kepada anak perempuannya untuk menjaga Zaki yang berusia 5 tahun.

Zaki bukannya seorang anak yang liar dan lasak.  Tetapi penjagaan tetap diperlukan,  apatah lagi memasuki kawasan yang begitu ramai dan bersesak-sesak.


Elena hanya duduk mendengar bebelan Makcik Zainab yang telah lama berjiran sambil tersenyum.


"InsyaAllah makcik,  kami akan jaga Zaki dengan baik,   lagipun dia bukannya budak liar,   jenis dengar cakap."   Elena memberikan semangat kepada Makcik Zainab.


Berjalan kaki,  bukannya jauh.  Tidak sampai 15 minit.


Sebaik tiba di kawasan tapak pesta.  Elena terus membelikan tiket untuk mereka bertiga.  Elena dan Zeila memegang tangan Zaki dengan erat.  Bimbang dalam keadaan manusia yang berasak-asak itu mereka terlepas Zaki.


Semakin lama,  mereka semakin larut dan leka dengan irama muzik yang membingitkan.  Mereka begitu asyik bermain pelbagai permainan yang disediakan didalam tapak pesta.


Zaki menarik tangannya dari pegangan Zeila.   "Kak,  nak ais krim tu."   Sambil tangannya menunjukkan ke arah gerai menjual ais krim tidak jauh dari mereka.


"Elena,  adik aku nak makan ais krim lah ..."  


"Oh, ok jom!"   Elena terus mengajak dua beradik itu mengikutnya.


Sebaik membeli ais krim,  dan sama-sama berehat seketika.  Zaki masih menikmati ais krim ditangannya dengan begitu asyik.


Tidak jauh dari mereka.  Kedengaran jerit pekik kegembiraan,  dan Zeila serta Elena bergegas ke arah suara sorakan manusia itu.


Zaki juga turut berjalan perlahan mengikuti kakaknya.

Dalam keadaan manusia yang begitu ramai.  Akhirnya Zaki hilang tumpuan.  Dia sudah hilang arah.

Zaki merayau di serata tempat.


Sementara itu.  Zeila dan Elena yang asyik memerhati pertunjukan silap mata,  terus bersorak kegembiraan.

Selesai sahaja pertunjukan,   tiba-tiba Elena melihat wajah Zeila yang seperti orang pucat.


"Kenapa Zeila?"


"Zaki... Zaki dah hilang!"   Zeila hampir menangis mengenangkan kehilangan adiknya.

Kini,  mereka berdua sudah hilang selera dengan suasana sekeliling yang menghiburkan.


Hanya satu matlamat mereka.


Mencari Zaki !


Sudah satu jam mereka mencari diserata tempat,  namun hampa. Mereka sudah tenggelam punca.


Tiba-tiba telefon bimbit berbunyi.  "Elena, dah dekat pukul 12,  kenapa tak balik lagi!"   Kedengaran suara ibunya agak nyaring dihujung corong.


"Aaaa ... ok, ok er .."   Eleina gugup menjawab panggilan ibunya.


"Macam mana ni ...?"  Zeila sudah tidak keruan.  Tangannya diramas-ramas.   Bibirnya diketap-ketap.

"Apapun yang berlaku,  kita balik ... kalau tidak ..."   Eleina tidak dapat meneruskan ayatnya.


Eleina terus menarik tangan Zaeila.


Zeila seperti dipaksa-paksa.  Sudah tidak mampu berbuat apa lagi.


Mereka tidak pulang ke rumah Mak Zainab,   tetapi terus ke rumah Hezren.


Sebaik pitu dibuka.  Zeila terus menangis tersedu-sedan.

Hezren pula yang kaget melihat tingkah anak jirannya itu.

Akhirnya,  mereka menceritakan segala apa yang berlaku.


"Dah,  jom.  Takkan kita nak duduk disini,  menangis meraung bagai ...?"   luah Hezren.  Namun yang pastinya,  Hezren juga berasa bimbang yang amat sangat.


Mereka berjalan dan menuruni tangga untuk ke rumah Zainab.


Sebaik tiba.  Zeila terasa bagaikan hendak pitam.  Namun,  tangannya sempat dipegang oleh Eleina.


Salam diberikan.  Dan pintu dibuka.  Tersembul Makcik Zainab dengan wajah garang umpama singa yang kelaparan.


"Mana Zeila?  aku suruh dia jaga adik dia ..."   Makcik Zainab meluahkan amarahnya.


"Kak,  sudah kak,  biar kami ceritakan dulu apa yang berlaku ..."   Hezren cuba menenangkan keadaan.


"Tak payah cerita,  aku dah tahu semuanya."  

Rupanya,  si Zaki telah ditemui oleh Halil,  juga jiran mereka yang tinggal tidak jauh dari situ.  Halil ke tapak pesta bersama keluarganya.

Sewaktu mereka hendak keluar dari tapak pesta.  Mereka menemui Zaki,  dan terus membawanya pulang.  Dan segera diserahkan kepada Makcik Zainab.


Akhirnya,  kebimbangan mereka terjawab.  


Inilah berkat dari kerajinan Makcik Zainab yang sentiasa ringan tangan membantu jiran tetangga yang berada dalam kesusahan.

Sepanjang berniaga di warung kecilnya itu,  kerap dia melebihkan nasi kepada pelanggannya yang susah.  Jika ada lauk pauk yang berbaki,   dia tak pernah lupa memberikannya kepada anak-anak yatim yang tinggal di flat berdekatan.


Pendapatannya walau tidak lumayan,  tetapi kehidupannya begitu teratur.   Dan banyak urusannya dipermudahkan oleh Allah.


No comments:

Post a Comment