Friday, September 11, 2015

Tekad Penjudi

Hampir sebahagian dari wang gaji yang di terimanya di gunakan untuk membeli nombor ekor.  Ada ketikanya kena,  tapi selalunya 'mis 1 mata!'


Sering berbalah dengan isterinya.  Harun tidak mahu berlama-lama.  Dia akan tunggang motor ke warung sahabatnya untuk menenangkan fikiran sambil bermain dam aji.


Sehinggalah satu hari. Harun benar-benar kehabisan wang.  Dia hendak pergi kerja,  tetapi motornya hampir kehabisan minyak.

Isterinya pulang ke kampong.  Habis segala ceruk dan sudut di rumahnya di selongkar.  Namun gagal untuk menemui walau  10 sen.


Beras habis langsung.  Gula tinggal beberapa sudu.  Teh dan kopi tinggal serbuk halus tak sampai satu sudu.

Harun benar-benar buntu.

Dia teringat dengan Haji Kader,  yang membuka kedai runcit tidak jauh dari rumah setinggannya.

Dia akan berusaha untuk meminjam sedikit wang.

Sebaik tiba di kedai.  Pekerja kedai memaklumkan yang haji Kader berada di belakang,  menguruskan stor.

Harun terus bergegas ke belakang untuk bertemu haji Kader.

Malang sungguh nasibnya.  Haji Kader tidak bersedia meminjamkannya wang,  kerana hutang lama dan sudah bertahun tidak berbayar.

Bukan sedikit,  tapi sudah mencecah RM1,000.

Apatah lagi,  haji Kader sudah maklum dengan perangai Harun yang 'taik judi.'

Harun pulang ke rumahnya dengan perasaan hampa.  Nak makan,  beras sudah habis.  Nak ke tempat kerja,  minyak motor hampir habis.


Perutnya memulas-mulas akibat kelaparan.  Kepalanya sakit.  Tiba-tiba Harun terasa sayu dan menitiskan air mata.


'Kalau aku simpan duit,  tak lah aku jadi begini ...'  bisik hatinya sendirian.  Sesalan mula melanda.


Harun melangkah keluar dari rumah.  Berjalan lesu tanpa tujuan.  Hinggalah kedengaran azan Zohor dari masjid berdekatan.

Sudah lama Harun tidak bersolat.  Bukan sahaja solat berjemaah,  malahn dia langsung tidak bersolat.

Dia kuatkan semangat.  Menuju ke masjid.  Berwuduk dan bersolat bersama jemaah lainnya.

Dia hampir tumbang sewaktu rakaat ke tiga,  akibat kelaparan dan pening yang teramat sangat.

Hendak minta sedekah.  Terasa malu yang teramat sangat.

Di luar,  keadaan semakin gelap.  Menandakan hujan akan turun.  Harun bergegas untuk pulang sahaja.

Sewaktu melalui deretan kedai makan.  Tiba-tiba kedengaran sebuah lori memecut dalam ruang lorong yang sempit.

Dan,  sekelip mata,  lori itu melanggar tiang sebuah warung makan.  Harun yang berada begitu hampir dengan warung itu ternampak seorang anak perempuan kecil sedang makan bersama ibu dan ayahnya.

Bumbung hadapan runtuh !

Harun menyambar kanak-kanak itu,  dan merebahkan diri menyelamatkan keluarga malang itu.

Semua orang kaget dengan tragedi itu.


Sekelip mata,  orang ramai datang untuk membantu.

Mereka mengangkat bumbung itu,  dan mengangkat mangsa,  seorang demi seorang. 

Anak kecil itu masih berada dalam pelukan Harun.

Dia menangis dan meraung kerana terkejut.

Ibu dan ayahnya bersyukur kerana mereka selamat.  Dan diselamatkan oleh tindakan pantas Harun yang sanggup mengorbankan dirinya.


Hanya kaki Harun yang cedera,   kerana dihempap oleh bumbung zink yang tebal.

Nasibnya baik,  kerana walaupun sakit,  tetapi dia boleh berjalan.  Menandakan kakinya tidak patah.

Setelah peralatan di warung itu dikemas.  Mereka menyambung semula menjamu selera.


Kali ini Harun juga diajak bersama menikmati makan tengahari.

"Siapa nama saudara ?  dan saudara kerja dimana ?"   Basri memulakan bual bicara bersama sahabat barunya.

"Nama saya Harun,  sebenarnya saya sedang mencari kerja,  selama ini saya bekerja sebagai pembantu,   bawa lori."   Harun mendedahkan kisah hidupnya.


Basri memandang wajah isterinya sambil terenyum dan mengangguk-angguk.

"Begini,  mahu tak saudara bekerja dengan saya?  tapi di Bukit Raja, bahagian stor,  ada elaun makan,  elaun shif,  malah,  tempat tinggal pekerja pun disediakan."


Sambil mengunyah daging kambing.  Harun terus menyatakan persetujuan.


Usai menjamu selera.  Sebelum berpisah.  Basri sempat menghulurkan sedikit wang buat rawatan kaki Harun yang tercedera.


"Eh, tuan,  banyak ni!"   Harun tergamam dengan jumlah yang diterimanya.

"Tak pe,  ambil je,  kita ni kalau bersedekah,  Allah jauhkan dari bala ... tengok tadi,  kalau saudara tak ada disini ... saya tak tahu nak cerita macam mana."   Basri sempat memberikan peringatan dan nasihat kepada Harun.


Sewaktu berpisah.  Harun berpatah balik ke masjid.  Dia terus memasukkan wang sebanyak RM10. 

Usai bersedekah,  Harun menuju ke klinik yang berada tidak jauh dari situ bagi mendapatkan rawatan.

Malam itu hujan turun dengan lebatnya.  Tiba-tiba,  telefon bimbitnya berbunyi.  Bila dilihat,  rupanya isterinya yang membuat panggilan.

"Bang,  tolong tunggu di tepi jalan,  saya balik dengan Anisah,  kami naik teksi,  hujan lebat ni,!"

"Ok"  Harun menjawab ringkas.  Dia bergegas mencari payung dan terus meluru keluar untuk menyambut kepulangan isteri dan anaknya.


***

Sebelum tidur.  Harun sempat bertanya kepada isterinya kenapa pulang awal.  Sedangkan isterinya telah memaklumkan akan berada di kampong sepanjang cuti sekolah.

"Ada kawan saya,  dia order karipap,  kuih puteri berendam dan bee hoon goreng untuk 300 orang."


Harun terlopong mendengar penjelasan isterinya.

Sambil memandang jam dinding.  Air mata Harun bergenang mengenangkan rezeki yang Allah limpahkan.

'Aku bersumpah tidak akan berjudi lagi!!!'







No comments:

Post a Comment