Wednesday, September 9, 2015

Keajaiban suatu tragedi

Penghuni Flat Melati.

"Esok abang jadi ke nak ke laut?"  tanya Rosnah kepada suaminya Latif.

"InsyaAllah."  ringkas sahaja jawapan Latif.

Segala alat kelengkapan memancing telah siap di atur di satu sudut rumah mereka.  Hanya menunggu masa untuk dibawa turun.

Subuh itu disambut dengan hujan dan ribut yang menerbangkan bumbung warung yang dibina di dalam kawasan flat.

Usai solat Subuh.  Rosnah hanya memandang jam didinding.  Merayu belas ehsan tuhan untuk memberikan yang terbaik untuknya sekeluarga.  Bimbang sekiranya sesuatu yang buruk terjadi.

Pintu bilik terkuak perlahan.  Muncul suaminya yang telah siap untuk keluar memancing bersama beberapa orang sahabat.

"Abang nak keluar dah?"   soal Rosmah perlahan. Masih ada nada kebimbangan.

"A'ah."   ringkas Latif menjawab tanpa memandangnya.

Tiba-tiba pintu rumah yang dibuka berdentum dengan kuat, tertutup rapat hasil tolakan angin yang begitu kuat.


Latif memandang Rosmah sekilas.

Dia tekad untuk keluar.  "Imah jangan bimbang,  selalunya hujan kalau lebat,  sekejap saja."  Latif cuba menenangkan isterinya yang kelihatan gusar.

Sebaik semua barangan telah diangkat keluar.  Rosmah mencium tangan suaminya.

Di bawah.  Dua orang sahabatnya telah menunggu didalam kereta.

***

Penghuni Kondo Sri Hartamas.

Kapten Haris telah bersiap untuk belayar.  Namun kali ini tidak jauh.  Hanya ke Vietnam sahaja.  Di keheningan Subuh itu,  dia terus mencium dahi anak-anaknya yang masih kecil,  seorang demi seorang.

Isterinya mengiringi setiap langkahnya di dalam banglo itu.

Sebaik tiba di pintu untuk berpisah.  Terus sahaja Kapten Haris memeluk pinggang isterinya dengan begitu erat.  Dan memberikan kucupan hangat buat isterinya.


"Doakan keselamatan abang tau!"   pinta Kapten Haris kepada isterinya.

"InsyaAllah bang,  kita kan nak tambah baby lagi ..."   isterinya tersenyum manja.

Sebaik mereka bersalaman Kapten Haris memberikan ciuman terkhir di dahi isterinya.  Terus sahaja Haris menuju lif.


***


Pulau Indah.

Kebanyakan kenderaan bergerak agak laju menuju destinasi masing-masing.  Hari semakin cerah.  Motor, kereta, lori dan treler panjang sama-sama bersaing ke arah Pelabuhan Barat,  Pulau Indah.

Kapten Haris melayani perasaannya berseorangan.

Manakala di jalan yang sama,  Latif dan rakan-rakannya berborak dan bersenda gurau.


Sebuah lori tangki memotong mereka dengan begitu laju.  Diikuti sebuah lagi lori membawa baja.  Bergegar jalan.


Dibelakang mereka,  sebuah motorsikal sedang mengikut rapat.


Sebaik mereka masuk ke dalam jalan berselekoh.


Malang memang tidak berbau.


Semuanya berlaku sekelip mata.  Tiga buah kereta bertembung sesama mereka,  berpusing dan terbabas di pembahagi jalan.


Lori yang membawa baja hampir terbalik,  melintas jalan.


Kereta yang dipandu Kapten Haris terus menghentam belakang lori baja.  Kereta yang dinaiki Latif dan rakan-rakannya menghentam pembahagi jalan.  Dan penunggang motorsikal melanggar belakang kereta mereka.


Mereka semua hanya mampu menjerit Allahu Akbar !!!


Memang tragik !


Puncanya,   lori yang membawa minyak sawit telah mengalami kebocoran.  Minyak melimpah ke atas jalan.


Serentak itu,   semua kenderaan di kedua-dua arah berhenti.


Masing-masing berdebar.



Pemandu lori baja terus turun dari dari kenderaannya.  Memandang keliling.

Latif hanya cedera ringan.  Sahabatnya yang duduk dibelakang pemandu pengsan.

Sahabatnya yang memandu mengadu kakinya sakit kerana rempuhan itu,  kereta mereka kemek terutama disebelah pemandu.

Tiba-tiba mereka mendengar suara orang meminta pertolongan.


Orang-ramai terus bergegas ke arah kereta yang di pandu oleh Kapten Haris.


"Tuan ok?"   tanya pemandu lori.

"Ok, ok,  tu ..."   sambil Kapten Haris menunjukkan kearah seorang penunggang motor yang berada dibawah lori.

Kapten Haris berusaha keluar melalui tingkap,   setelah pintunya tidak dapat dibuka.


"Kapten!"   kedengaran suara seseorang memanggilnya.  Rupanya sahabat sejawatan yang baru selesai tugasan dan dalam perjalanan pulang,  menyapanya.


Penunggang motor itu rupanya masih hidup.   Wajahnya berlumuran darah.  Kakinya tidak dapat digerakkan.


"Haris,  aku rasa lebih baik aku bawa budak ini ke hospital.  Engkau boleh ikut sekali."   rakannya memberikan cadangan.

Haris mengangguk bersetuju.  Apatah lagi kakinya pun terasa amat sakit. Dia berjalan dalam keadaan berpapah.


Orang ramai mengangkat pemuda itu ke dalam kereta.   Dan sahabatnya terus memecut menghala ke hospital.


Manakala Latif terus menunggu ambulans untuk membawa sahabatnya ke hospital.


Sebaik mereka tiba di horpital dengan ambulans.  Sahabatnya dibawa ke dalam bilik rawatan kecemasan.  Sementara itu Latif dan seorang lagi sahabatnya mendaftar sebagai pesakit luar.


Mereka bertemu dengan Kapten Haris yang sedang bercakap dengan isterinya.

"Bagaimana budak tadi?"   Latif memulakan perbualan.


"Saya rasa ok,  nasib baik dia pakai topi keledar jenis tahan lasak, kalau tidak ..."   Kapten Haris tidak menyambung percakapannya.


"Kawan apa macam mana?"  Kapten Haris pula bertanya.

"Alhamdulillah,  kakinya ok,  tapi nampak bengkak,  Doktor kata tak patah ... yang seorang lagi pengsan sebab kepalanya terhentak kuat  pada cermin."   Latif menerangkan keadaan sahabatnya.


Setelah lama mereka mendiamkan diri.   Tiba-tiba Kapten Haris membuka kisahyang agak pelik.


"Awak tahu tak,  waktu nak berlaku kemalangan tu,  saya sudah hilang kawalan,  tetapi saya perasan macam budak tu menendang kereta saya,  dan saya merempuh belakang lori.  Kalau ikut cara saya bawa,  mungkin kereta saya akan terperosok bawah lori..."   Kapten Haris mendedahkan keajaiban yang berlaku kepadanya.  Dahinya berkerut seribu.


Diwaktu itu,  barulah Latif  terbayang sesuatu.  Sewaktu pemanduan hilang kawalan.  Motor itu merempuh dari belakang,   kereta mereka berpusing,  dan melanggar motor yang terbalik.  Dan kereta mereka terus bergesel dengan pembahagi jalan.

Andaikata kereta mereka tidak melanggar motor itu,  kemungkinan besar,  kereta mereka juga akan terperosok kebawah lori.


Allah ... panjang Latif melepaskan nafasnya.


Dia terus meraup mukanya,  kelegaan.

Satu persoalan bermain diminda masing-masing.


Ini suatu keajaiban.  'Siapa'  yang menyelamatkan mereka ?






No comments:

Post a Comment