Monday, September 7, 2015

Darah kita bersatu.

Sejak ditinggalkan suami,  kehidupan Elisha amat terhimpit.  Bekerja sebagai Pembantu Nurseri,  berapalah sangat untuk menampung segala macam kos di tengah kota raya.

Menyewa bilik,   dengan dua orang anak yang masih kecil.  Namun dia tetap bersyukur kerana abangnya akan menghantar beras dan barangan dapur setiap bulan ke rumahnya.  Abangnya pula bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di sebuah sekolah.


Dan ada juga bantuan sekali atau dua kali dalam sebulan dari sebuah NGO yang dikenali sebagai Pertubuhan Kebajikan BAITUL FIQH yang menganjurkan program makanan untuk gelandangan dan fakir miskin.

Dapatlah keluarga miskin dan ibu tunggal mendapat bekalan susu yang berkualiti dan pampers untuk anak-anak yatim.

Walaupun kehidupannya yang amat susah.  Namun,  Elisha tetap ringan tulang membantu sahabat dan jiran yang memerlukan tenaga empat keratnya.

Ada ketikanya dia akan menjaga anak jirannya,  jika keluarga tersebut perlu keluar dan meninggalkan anak mereka pada hujung minggu.

Dan kerap juga jirannya membawa anak sulungnya yang berusia 6 tahun keluar makan dan bersuka ria.

Sebagai seorang Islam,  terasa juga sesekali hendak bersolat di surau berdekatan flat tempat tinggalnya.

Tetapi,  hasratnya itu tinggal di dalam hatinya sahaja.  Dia tetap terkenangkan peristiwa dihina oleh wanita yang bersolat di surau itu.

Waktu itu,  berlangsung program ceramah perdana di surau tersebut. Elisha hadir untuk membantu seperti mana kaum wanita lain.

Dia datang dengan berseluar jeans dan t-shirt lengan panjang,  serta bertudung pendek.


Elisha akui,  pakaian itu langsung tidak sesuai dengan majlis di surau.  Tetapi apakan daya,  Elisha baru pulang dari kerja dan terus turun padang membantu.

Beberapa orang wanita mengeluarkan kata-kata sinis terhadapnya.  Sehinggalah seorang wanita begitu celopar bercakap  "pelacur pun tahu bersopan dalam surau..."


Elisha yang tersentap dengan kata-kata itu terus beredar dari situ dengan perasaan sebal.

Sejak hari itu,  Elisha langsung hilang minat untuk melangkah ke surau itu.


Pagi itu.  Cuaca sungguh cerah.  Ada kenduri jiran dibawah flat.  Elisha turun awal,  supaya dapat membantu apa yang patut.  Suasana agak meriah kerana jiran semakin ramai yang membantu. 

Tiba-tiba seorang anak muda yang tidak dikenali memohon jika ada sesiapa yang dapat membantunya.  Pemuda itu harus ke hospital segera.  Ibu saudaranya kemalangan.  Beliau tidak tahu selok belok jalan ke hospital Serdang.

Elisha yang mendengar rayuan pemuda itu berasa belas.  Lalu menyatakan kesanggupannya untuk membantu.  Apatah lagi itu adalah kampongnya.

"Kak Zai,  kak boleh tolong tengokkan anak saya tak,  takkan saya nak bawa budak tu ikut sama ..."   Elisha memohon jasa baik jirannya.


"Tak pe,  tak pe,  kamu pergilah ... kami disini boleh tolong tengokkan,  kesian ..."   kedengaran suara beberapa orang kaum wanita meyatakan kesanggupan untuk menjaga anak-anak Elisha.


Sebaik tiba di hospital Serdang.  Mereka terus bergegas ke bahagian kecemasan.

Apabila ditanya kepada jururawat yang bertugas.  Rupanya ibu saudara pemuda itu masih dalam keadaan kritikal.  Mereka dimaklumkan yang pihak hospital amat memerlukan darah untuk menyelamatkan wanita itu.

Anak saudaranya menawarkan diri untuk menguji kesesuaian darahnya.  Namun didapati tidak sesuai.  Dalam keadaan genting itu.  Sekali lagi Elisha menawarkan darahnya untuk diuji. 

"Puan,  darah puan sesuai dengan kategori darah pesakit,  puan mahu membantu?"   Jururawat bertanya kepada Elisha.

"Boleh, boleh ..."  

Beberapa minggu telah berlalu.  Wanita itu dikeluarkan dari wad.  Sewaktu keluar dari kereta.  Mereka terserempak dengan Elisha.

Wanita itu langsung tidak mahu menegur sapa Elisha.  Elisha dipandangnya dengan pandangan jelek.

"Hai kak Elisha,  nak kemana?"  sapa pemuda itu.

Elisha tergamam.  "Nak kerumah kawan."


"Ha,  mak ngah,  inilah orangnya yang saya ceritakan hari tu,  dia yang bawa saya ke hospital dan dia yang menderma darah kepada mak ngah."   Pemuda itu mendedahkan kisah yang berlaku pada hari kemalangan.

Hampir pitam Siti Hawa mendengar penjelasan dari anak saudaranya.

Elisha,  ya itulah orangnya yang dia hina satu ketika dahulu dalam surau sebagai pelacur !

Dan 'pelacur'  itulah yang menyelamatkan nyawanya.

Tiba-tiba sahaja air mata Siti Hawa bercucuran.  Spontan dia menarik tangan Elisha dan mereka berpelukan dalam tangisan.


"Maaf kan akak,  Elisha,  maaf kan akak ..."


..............

Surau Ar Rahmah.

Suasana gamat dengan usikan kaum wanita yang bertungkus lumus memasak untuk program imarah surau dan gotong royong menjelang Ramadan.

Kali ini Elisha juga turut sama sibuk membantu.  Begitu manis sekali bila dia memakai baju kurung dan bertudung hijau pucuk pisang.

Terserlah keayuannya yang tersembunyi selama ini.

"Elisha,  akak nak cakap sikit ni ..."  Siti Hawa sempat berbisik ke telinga Elisha.

Elisha hanya mengangkat keningnya tanda bersedia mendengar.

"Anak saudara akak,    berkenan kat kamu,  kesian kamu dah lama ..."

Elisha hampir pitam mendengar luahan hati kak Siti Hawa.

Malam itu.  Elisha dapat merasakan ketenangan yang termat sangat.  Akhirnya dia dapat sujud di surau itu.

Usai solat Isyak,  Elisya mengangkat tangat memohon petunjuk dari Allah.

"Ya, Allah,  Engkaulah perancang terbaik  ..."







No comments:

Post a Comment