Monday, September 7, 2015

Sesat Pembawa Rezeki

“Cepatlah sikit jalan tu,  Izman.  Kalau hujan lebat nanti,  tak sempat nak sampai rumah!”   herdik Sakinah kepada anak sulungnya yang berusia 6 tahun.

Ada ketikanya mereka berjalan laju.  Ada ketikannya mereka berlari-lari anak.  Jam telah menunjukkan pukul  8:15 malam.

Tidak dapat dipastikan keadaan sebenar kerana kegelapan malam itu disimbah oleh cahaya lampu jalan.

Hanya kesejukan melanda tubuh dua beranak ini,  kerana tiupan angin yang begitu kuat.

Sesekali tubuh mereka tertolak ke kiri dank e kanan  akibat tiupan angin yang kuat.

Sementara itu …

Dua orang saudara sepupu sedang bertengkar dalam kereta.   Mereka sedang mencari  sebuah bangunan di tengah-tengah pusat Bandar Kuala Lumpur.

Sudah dua jam berlegar.  Langsung tiada petunjuk.  Yang nyata,   mereka telah sesat.

Lebih malang lagi.  Telefon bimbit kedua-duanya telah kehabisan bateri.

Akibat jahil dengan jalan disekitar bandaraya Kuala Lupur.  Kerap kali kereta mereka di hon oleh pemandu lain kerana pemanduan yang tidak menentu,  ke kanan dan ke kiri tanpa tujuan.

Sewaktu membelok di satu selekoh tajam.  Dicelah bangunan dalam kawasan Lorong Haji Taib.  Tiba-tiba melintas dua makhluk dalam kegelapan.


Zain menekan brek.  Zahid tersentak !

Dari suluhan lampu kereta.  Kelihatan seorang anak kecil sedang dipimpin oleh seorang wanita.

“Zahid,  cuba kamu tanya wanita itu kalau mereka tahu tempat yang kita nak pergi?”  arah Zain kepada sepupunya.

Tanpa banyak soal.  Zahid terus keluar dari kereta danberlari anak mendapatkan wanita itu.


“Kak, kak,  maaf ya … oh kak!”    Zahid terus memanggil wanita itu.

Kedua-dua beranak itu berhenti.  Tergamam.  Bimbang melanda.  Manalah tahu,  jika lelaki itu berniat tidak baik kepada mereka.  Tetapi si ibu kuatkan semangat,  kerana masih ramai orang yang berada di sekitar kawasan itu.

Melihat wanita itu bertudung.  Zahid terus memberikan salam sebagai tanda penghormatan.

“Assalamu’alaikum ya kak,  maaaf sangat-sangat.  Saya sebenarnya nak mohon bantuan dari akak,  saya dansepupu  saya sudah tersesat jalan …”

“Alaikumsalam,   ya dik,  dik nak kemana?”   soal Sakinah,  yang masih bimbang. Namun dikuatkan semangat kerana anaknya masih tetap bersamanya.

Zahid terus menunjukkan sekeping kertas yang bertulis alamat yang perlu ditujui oleh mereka.

Sakinah membelek kertas  itu dan termenung seketika.  Melihat sekeliling,  seolah-olah mencari petunjuk.

“Ha,  akak tahu tempat ini,  adik keluar dari sini,  terus masuk ke kiri …”


“Kak, kak,  macam ni,  demi Allah,  kami telah lama tersesat.  Begini kak,  insyaAllah,  kami hanya mohon pertolongan sedikit sahaja.  Boleh tak akak ikut kami,  tunjukkan tempat dan bangunan itu.  Selepas itu saya janji akan hantar akak dan anak akak balik ke rumah akak …”  Zahid terus merayu simpati.


“Baiklah.”   Sakinah bersetuju namun masih mengharapkan perlindungan dari   Allah.

Sebaik mereka masuk ke dalam kereta.  Hujan yang tadinya hanya renyai,  terus sahaja turun selebat-lebatnya.  Disertai guruh dan kilat sabung-menyabung.


Kuala Lumpur basah sebasah-basahnya.

Hampir setengah jam.  Tempat yang dicari telah semakin hampir.  Dan,  kenderaan terus bergerak menuju parkir yang disediakan.

Zain dan saudaranya Zahid cuba menenangkan Sakinah dan anaknya untuk terus tinggal didalam kereta,  sementara mereka berdua naik ke atas bangunan untuk menyelesaikan urusan mereka.

Hampir 1 jam menunggu.  Dan kedua-duanya turun dengan riang ria.  “Maaf kak,  sebenarnya urusan kami tak sampai setengah jam.  Tapi kami ambil masa untuk mengecas telefon bimbit kami.  Maaf ya.  Ok,  sekarang,  akak tunjukkan kami arah jalan ke rumah akak.”   Pinta Zain.


Hujan masih lebat.  Dan kereta mereka bergerak agak perlahan.

Setibanya di bangunan PPRT.  Sakinah menunjukkan tempat untuk berhenti.


Kesemua mereka keluar dari kereta.  Sewaktu bersalaman.  Zahid mengusap kepala Izman.


“Eh kak,  anak akak ni demam panas ni.”  

“Ha, ah,  dari petang tadi dia demam…”


“Akak  ada ubat demam ke?”   soal Zain lagi.

Sakinah hanya menggelengkan kepala.  


“Tak boleh jadi ni,  Zain,  jom bawa budak ni ke klinik,  bahaya ni!”   Zahid tidak berpuas hati dengan tahap kepanasan badan Izman.


“Eh, tak pelah dik …”   Sakinah serba salah.  Namun tetap bimbang dengan kesihatan anaknya.


“Dah,  dah, dah,   sekarang akak bawa kami ke klinik yang akak tahu.”   Zain bertegas dengan keputusan mereka.

Terus sahaja Zahid memegang Izman dan dibawa masuk ke dalam kereta.

Sakinah masuk semula kedalam kereta,  kali ini dia duduk dibahagian depan.

Usai berurusan di klinik dan mendapatkan ubat serta suntikan.  Mereka bergegas pulang menghantar Sakinah dan anaknya.


Sebaik tiba.   Melihat Izman yang telah tertidur akibat kesan suntikan.   Zahid terus mengangkat dan mendukungnya.


Sakinah hanya mampu melihat kebaikan dua pemuda itu.

Sewaktu masuk ke dalam bilik sewa.  Kedua-dua bersaudara itu hanya mampu menggelengkan kepala.  Melihat bagaimana beberapa keluarga berkongsi rumah.

Sebaik meletakkan Izman diatas tilam.   Zahid meletakkan sesuatu ke dalam poket Izman.


Mereka terus keluar.  Sambil mengucapkan terima kasih atas kesudian Sakinah membantu mereka yang dalam kesulitan.

“Maaf ya dik,  kerana tak dapat nak menjamu …”   Sakinah berbasa basi.


Namun,  kedua-duanya amat faham keadaan Sakinah.

“Eh tak pe kak,  akak dah tolong kami dah kira bagus sangat … baik kak,  kami nak kena balik Johor sekarang.”


“Baik-baik jalan ya dik,   terima kasih kerana bawa anak akak ke klinik.”    Sakinah berbasa basi.


Setelah kedua-duanya beredar.  Sakinah masuk semula ke dalam biliknya dan terus merebahkan dirinya disisini anak tunggalnya itu.

Sejak berpisah dengan suaminya.  Inilah kali pertama  hamba Allah yang baik budi membantunya.


Hampir terlelap.  Dalam kegelapan bilik,  tangan Sakinah merayap  kearah dahi anaknya.  Tiba-tiba dia terasa sesuatu benda berada didalam poket baju anaknya.

Terus dikeluarkan.  Terfikir apakah benda itu.

Rupanya sampul duit raya.

Kenapa agak tebal  ?

Sakinah bangun dan membuka suis lampu.  Dibukanya sampul duit raya itu dengan penuh debaran.


“Ya Allah …”   itu sahaja yang termampu diucapkan oleh Sakinah.


RM2,000 berada didalam sampul itu.

Sehelai kertas putih terselit didalamnya.


‘Kak,  terimalah sedikit sumbangan dari kami.  Buat kegunaan akak.’    Tulisan itu amat buruk sekali,  tetapi  hati mereka amat mulia.

Bergetar bibir Sakinah sambil melafazkan kesyukuran yang tidak terhingga atas nikmat  dariNYA.


No comments:

Post a Comment