Tuesday, September 8, 2015

Keikhlasan memberi.

Semua bekalan makanan,  ubatan dan perkakasan mudah membaiki kereta telah dikemas dan di simpan di dalam kereta.  Beberapa hari sebelum itu,  Hamidun telah membawa keretanya untuk diservis.  Maklumlah,    kereta sudah menghampiri usia 20 tahun.  Tentu ada banyak ragamnya.


Anak-anaknya begitu riang ria,  kerana kali ini mereka mengambil keputusan untuk pulang bercuti agak lama di kampong.  Sudah lama tidak bermanja dengan atuk dan opah.  Sudah lama tidak terjun sungai.  Sudah lama tidak panjat pokok rambutan.


Bukan mudah untuk pulang ke kampong dan bercuti.  Bukan sedikit wang yang diperlukan sepanjang percutian.  Walaupun untuk pulang ke kampong halaman sendiri.


Dengan pekerjaan sebagai pekerja am di stesen minyak.  Berapa sangat gaji yang diperolehinya.  Isterinya Haliza hanya menjual kuih sebagai pendapatan sampingan.

Mereka tidak pernah bercuti panjang di kampong.  Sedangkan cuti hari raya sekalipun,  ada ketikanya mereka tidak pulang ke kampong.

Setelah berjimat cermat selama beberapa tahun.  Hasil desakan anak-anak,  akhirnya kali ini,   mereka mengambil peluang cuti sekolah untuk berehat di kampong.

Sebelum bertolak,  Haliza telah meminta anak-anaknya  menghantar 2 dulang kuih ke surau yang terletak dalam kawasan perumahan flat mereka. 

Kebetulan surau itu menganjurkan program ceramah perdana pada malam itu.  "Kirim salam pada orang tua kamu,  berhati-hati dijalanraya."  tuan Imam meninggalkan pesan kepada anaknya.

"Baik pakcik."  sambil bersalaman dan mencium tangan tuan Imam.

Tuan Imam tersenyum memandang anak-anak Hamidun yang telah berlalu pergi.  Hamidun merupakan seorang sahabat dan jiran yang ringan tangan dan kerap bersedekah,   walaupun tidak kaya.


Segalanya telah siap.  Dan enjin kereta dihidupkan.

Dengan lafaz Basmallah dan membaca doa perjalanan.  Kereta dipandu Hamidun dengan berhati-hati.

Perjalanan lancar sepanjang jalan.  Mereka mengambil keputusan untuk makan di RR Tapah.  Usai mengisi perut.  Hamidun mengambil keputusan untuk mengisi minyak.

Sewaktu sedang mengisi minyak,   dia asyik memerhati seorang anak kecil yang memakai baju seperti pari-pari,  sungguh comel  Dia tersenyum,  timbul keinginan untuk memiliki anak perempuan.

Usai mengisi minyak,  enjin dihidupkan dan mereka memulakan perjalanan semula.

Sebaik keluar dari tol Kuala Kangsar.  Hujan telah turun dengan lebatnya.  Pemanduan menjadi perlahan. Tidak ada apa yang hendak dikejar.  Lagipun jaraknya sudah tidak berapa jauh.


Tiba di satu selekoh.  Dari jauh,  kelihatan sebuah kereta mewah memberikan isyarat kecemasan.  Kelihatan seorang lelaki sedang memakai payung berdiri di tepi keretanya.

Sebaik melintas kereta itu,  Hamidun memandu dengan perlahan bagi melihat apa masalahnya dengan kereta itu.


Timbul rasa simpati di hati Hamidun dan Haliza.   "Abang pergi tengok sekejap."


Dia keluar dan membuka payung.  Berjalan menemui lelaki itu.  "Kenapa tuan?"   Hamidun bertanya ringkas.

"Tayar kereta pancit,  sebelum tol tadi dah rasa semacam,  saya ingat boleh sampai ke bandar ..."   lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Aziz menceritakan apa yang berlaku.

"Begini,  tuan ada tayar ganti?"  soal Hamidun.

"Ada."   sambil Aziz membuka bonet belakang.

"Eh, tuan nak gantikan tayar?  ini tengah hujan lebat ni!"   Aziz simpati dengan keikhlasan Hamidun.

"Tak mengapa,  tuan pegang payung,  saya buat kerja.  Kalau tidak,  takkan tuan nak tunggu disini,  sekarang dah gelap nak malam."  


Aziz hanya mengangguk.

Tidak sampai setengah jam.  Proses menukar tayar selesai.

Bersimpati dengan bantuan yang dihulurkan oleh Hamidun.  Aziz menghulurkan sedikit wang sebagai upah.

Hamidun menolaknya dengan baik. Dia membantu sekadar termampu.

Hujan terus lebat disertai angin kencang,  menyebabkan mereka tidak boleh berlama.  Apatah lagi pakaian Hamidun telah lencun.

Kedua-duanya masuk ke dalam kereta masing-masing dengan segera.  Enjin kereta dihidupkan.  Dan Aziz sempat menekan hon sebagai tanda terima kasih kepada jasa baik Hamidun.

Kereta dipecut dan terus hilang dari pandangan mata.

Hamidun masih mengesat pakaiannya yang basah.  Setelah agak selesa,  barulah dia memulakan pemanduan.  Menuju ke rumah orang tuanya.

Manakala didalam kereta Aziz.  Isterinya bertanya.  "Abang kenal orang tadi?"

"Tak."   sambil menggeleng kepala.

"Abang ada ambil nombor hp dia?"

"Allah .....!"   Aziz terasa kesal kerana terlupa mengambil nombor telefon bimbit atau kad bisnes Hamidun.

***

Keesokan harinya.  Di pasar minggu Pekan Kuala Kangsar.

Dua orang anak remaja riang ria menaiki sebuah basikal.  Tiba di sebuah gerai menjual kuih-muih.  Mereka mengambil beberapa biji kuih dangai.  Pesanan dari atuk dan opah mereka.

Di sebelah mereka seorang lelaki turut membeli kuih.  Usai memilih.  Dihulurkan wang sebanyak RM50.

"Maaf encik,  kami tak ada duit pecah."   si gadis tidak dapat memberikan wang pecah.

"Ok begini,  campurkan sekali dengan harga kuih adik-adik ni."   lelaki itu memberikan solusi.

Bila dibelek didalam bekas duit,   tetap tidak cukup untuk dipulangkan baki wang itu.

"Ok dik,  adik ambil lagi kuih dangai ke,  kuih apa ke,  bagi cukup RM20."


Kedua-dua remaja itu kebingungan.  Namun,  salah seorang terus mengambil beberapa biji kuih lagi dan mengisi kedalam bekas plastik.

"Alhamdulillah,   selesai masalah."  dan lelaki itu terus mengambil baki wangnya dan terus berlalu.

"Terima kasih pakcik!"   jerit remaja itu.


Sebaik tiba di rumah atuk mereka.  Kelihatan beberapa buah kereta telah di parkir di halaman.


Rupa-rupanya keluarga Pak Ngah dan Pak Su telah datang meraikan kedatangan mereka ke kampong.


"Mana kamu dapat duit beli kuih begini banyak?  ayah bagi RM5 saja tadi,  kan?"  Hamidun tergamam melihat kuih-muih yang begitu banyak.


 "Entah,  tadi ada sorang pakcik belanja."   jawab anaknya.

"Kamu kenal?"   Hamidun bertanya lagi.


Kedua-dua anaknya menggeleng kepala.


"Dia naik kereta apa?"

"Kami tak nampak,  sebab lepas dia bayar,  dia terus masuk pasar."

***

Sementara itu.  Di pasar minggu.  Usai membeli beberapa barangan dapur.  Di dalam kereta si isteri bertanya kepada suaminya.


"Bang,  tak nak cari kedai tayar ?  boleh ganti tayar semalam yang bocor."


Si suami hanya mengangguk.





No comments:

Post a Comment