Tuesday, September 8, 2015

Kilat dan anjing menyalak.

Zaleha teragak-agak hendak keluar atau tidak dari rumah.  Hujan ada ketikanya lebat,  ada ketikanya hanya gerimis. 

Sakit kepala akibat Migrain masih belum reda.  Anaknya pula merengek kelaparan.   Bekalan Nestum telah habis langsung.  Habuk pun tiada.


Duit yang ada ditangan cukup-cukup untuk membeli Nestum setin.  Gaji sebagai pekerja pasaraya berdekatan flatnya belum masuk lagi.  Dia boleh sahaja mengeluarkan wang dari ATM terdekat,  tapi perlu naik motor untuk ke sana.


Kalau boleh,  dia tidak mahu meredah hujan.  Seboleh-bolehnya dia akan menjaga kesihatannya sebaik mungkin.  Kerana selama dia bekerja di sebuah pasaraya yang ternama itu.  Dia tidak pernah mengambil cuti sakit. 


Setelah menghitung rasa malas dan rajin yang ada dalam dirinya.  Akhirnya Zaleha mengambil keputusan untuk turun. 

Rumah yang disewanya terletak ditingkat 8.  Kemudahan lif ada ketikanya gagal berfungsi dengan baik. 

Dia terus menyiapkan anaknya ala kadar.  Dicapainya dompet dan telefon bimbit.  Dan dikeleknya anaknya.  Terus tutup dan mengunci pintu.  Segera ke lif.

Malang nasibnya.  Dua buah kedai runcit dibawah flat dan sebuah lagi dalam kawasan yang sama telah kehabisan Nestum.


Tiada pilihan lain.  Dia terus berjalan ke sebuah bangunan yang tidak jauh dari flatnya.  'Nasib baik pakai topi'   gumam Zaleha sendirian,  sambil melihat dan membetulkan topi yang dipakaikan atas kepala anaknya.  Bimbang jika hujan turun tidak menentu.


Dari sebuah kedai ke sebuah kedai yang lain.  Semuanya tiada stok.


Zaleha merasa hampa.


Dia pandang keliling.  Sudah tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Seperti kebiasaan.  Hasil ajaran dan amalan ibunya.  Jika menghadapi masalah dan tiada jalan penyelesaian.  Terus beristighfar dan berselawat tanpa henti.  Mohon kasih sayang Allah dan  bergantung harap sepenuhnya.


Tiba-tiba sahaja kilat berdentum.  Di keheningan senja itu.  Keadaan sekeliling menjadi cerah hasil dari pancaran kilat.


Anaknya menangis terkejut.  Segera diusapnya tubuh si kecil itu bagi menenangkannya.

Entah dari mana,  tiba-tiba sahaja seekor anjing yang turut terkejut dengan pancaran kilat itu terus berlari dan menerpa kearah mereka.  Zaleha kaget seketika.  Dia berdiri tidak berganjak.


Dan anjing itu berhenti berdekatan mereka.  Menjelirkan lidah. 


"Bila kita dalam kesempitan,  bersedekahlah ..."   itulah ayat yang kerap didengarinya melalui saluran tv.


'Apa yang aku nak sedekah pada anjing ni?'   gumamnya sendirian.


Tiba-tiba dia teringat kepada botol susu anaknya yang berada didalam beg sandang.


Terus dikeluarkan botol susu itu.  Dibukanya penutup puting susu.  Dengan perlahan Zaleha mencurahkan baki susu anaknya ke atas lantai.


Dan anjing itu mendekati susu itu terus dijilatnya dengan lahap.


'Kamu lapar rupanya ... Ya Allah....'   Zaleha berkata sendirian.


Sehabis susu,   anjing itu menyalak ke arahnya.  Anaknya sekali lagi menangis kerana terkejut.


Dan terus berlari ke satu arah.  Tidak sampai beberapa meter.  Anjing itu berhenti,  berpaling ke arah Zaleha dan menyalak beberapa kali.

Sungguh Zaleha kebingungan,  tidak tahu apa petunjuknya.


"Allahu akbar!"   spontan Zaleha menjerit kecil.  Barulah dia teringat sesuatu.  Di hujung parkir,  terdapat sebuah lagi bangunan dua tingkat.  Dan disitu memang ada sebuah kedai ubatan Cina,  Sengseh.


Kali ini dia kuatkan semangat,   insyaAllah !


"Haiya,  ini macam hujan pun lu bawa lu punya anak ka?"   Taukeh Sengseh mengomel.  Tapi sedikit pun Zaleha tidak berasa hati.  Yang penting,  Nestum telah berada ditangannya.






Malam itu.  Zaleha hanya tidur dengan anaknya sahaja.  Suaminya bekerja lebih masa di kilang tidak jauh dari flat mereka.


Dia mengalami mimpi aneh.  Dia terlihat pancaran kilat seperti yang dialaminya petang itu.



***

Sementara itu,  di sebuah banglo mewah di Bukit Antarabangsa.  Beberapa orang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat sedang bermesyuarat dalam santai.

Mereka telah bersetuju dan bersepakat untuk membuka cawangan di Singapura.  Dan mereka perlu menghantar beberapa orang pegawai bagi tujuan memberi latihan kepada kakitangan baharu.


"Ada beberapa jawatan kosong di ibu pejabat,  paling utama kita mahu mencari pengganti Puan Yap sebagai Eksekutif Stor,   dia akan dinaikkan pangkat mejadi Timbalan Pengarah Pemasaran.  Ada sebarang cadangan untuk mengisi kekosongan?"   Tuan Haji Yaakob memohon pandangan ahli lembaga pengarah yang lain.


"Saya dah lihat kesemua rekod pekerja,  saya dapati Puan Zaleha adalah pekerja paling sesuai dan layak untuk menggantikan tempat Puan Yap sebagai Eksekutif Stor."   Seorang ahli lembaga pengarah yang paling berpengaruh dalam syarikat memberikan pandangan. 

Sambil menghirup segelas Capuccino dari Itali.


Kesemua ahli lembaga pengarah mengangguk tanda bersetuju dengan pandangan beliau.

***




Tidak mahu melayan ulitan mimpi.  Pagi itu,  setelah bersiap,  dia hanya menunggu kepulangan suami tercinta.


Sebaik suaminya sampai.  Mereka hanya berbual seketika sahaja,   kerana Zaleha perlu segera ke tempat kerja.


Sewaktu rehat makan.  Dia terdengar bunyi salakan anjing.  Seolah-olah sama seperti petunjuk semalam.  Rupanya beberapa anjing sedang berkeliaran tidak jauh dari padang permainan kanak-kanak.


Sewaktu habis waktu rehat.  Zaleha telah dipanggil masuk kedalam pejabat.  Timbul rasa kurang selesa dengan arahan itu.  Kerana sejak beberapa waktu kebelakangan ini,  desas desus telah kedengaran,  beberapa orang staff akan dihantar ke Singapura.  Ini bukan tugasan yang menggembirakan.

Sebaik masuk kedalam bilik Sumber Manusia.  Pengarah Sumber Manusia,  tuan Rizal terus menyerahkan sepucuk surat.  Dan diterima dengan penuh debaran oleh Zaleha.

"Nak kena buka sekarang ke?"    soal Zaleha gugup.


"Ya."   Ringkas sahaja tuan Rizal menjawab.


Sebaik surat dibuka.  Zaleha hanya mendengar dentuman kilat,  suara salakan anjing dan susu yang ditumpahkan.


No comments:

Post a Comment