Thursday, September 24, 2015

DOA orang yang reda.

Dalam minggu ini sahaja sudah 3 kali,  haji Sulaiman bermimpi bertemu dengan seorang anak kecil yang menangis.  Beberapa detik kemudian,  si kecil itu ghaib dalam sinaran cahaya yang begitu terang-benderang.


Haji Sulaiman yang merupakan Imam di surau berdekatan flatnya tidak mampu membaca firasat mimpinya itu.  Jauh sekali dia hendak bertanya dengan bomoh Asri yang kerap didatangi oleh warga Indonesia untuk berubat dan memohon segala macam pandangan.


Namun,  mereka tetap bersahabat.

Kalau hendak ditafsirkan sebagai rezeki,  mungkin juga.  Sebab anak kedua haji Sulaiman sedang sarat mengandung.  Khabarnya mereka bakal beroleh bayi kembar.


Namun,  bagi haji Sulaiman,  mereka sekeluarga tidak kisah,  kerana itu semua rezeki dari Allah.


Malam itu angin bertiup begitu kuat.  Sewaktu mengimami solat Isyak,  haji Sulaiman membaca surah Al Fiil dengan kuat dan nyaring.


Usai bersolat kedengaran bumbung zink di bahagian tandas terangkat beberapa kali.  Masing-masing jemaah berpandangan sesama sendiri.


Tidak sampai beberapa minit,  barulah hujan turun dengan begitu lebat disertai angin kencang.  Ada jemaah yang ragu-ragu untuk melangkah pulang.

Tuan haji Sulaiman mengambil keputusan untuk terus duduk di dalam surau sambil membaca Al Quran.

Hampir jam 10 malam.  Barulah hujan semakin reda.  Dan kebanyakan jemaah telah pun pulang ke rumah masing-masing.

Tinggallah haji Sulaiman dan seorang remaja lelaki di dalam surau.

"Azhar,  tolong tutup suis lampu,  saya tunggu disini."   haji Sulaiman mengarahkan remaja itu untuk masuk dan menutup lampu yang masih terbuka.


Sebaik sahaja remaja itu menutup suis dan keluar.  Mereka berdua bersama-sama berjalan menuju ke bangunan flat yang sama.


Malang tidak berbau.  Tidak tahu dimana silapnya.  Tiba-tiba sahaja kaki haji Sulaiman tergelincir,  akibat lantai yang licin,  dan kakinya terperosok kedalam longkang.  Serentak itu juga haji Sulaiman turut terjatuh.


Azhar tidak sempat berbuat apa-apa.  Dia hanya mampu menjerit memanggil haji Sulaiman yang pengsan.

Sewaktu dalam keadaan panik itu.  Dia berlari ke sebuah kedai runcit.  Namun kedai itu telah ditutup.  Tiba-tiba Azhar mendengar suara seseorang sedang menjerit ke arahnya. 

Rupa-rupanya ibunya yang baru pulang dari kerja,  sedang mengunci motornya.  Mereka segera bergegas ke longkang tempat haji Sulaiman jatuh.

Waktu itu,  tiba beberapa orang lelaki dan mereka juga membantu mengangkat haji Sulaiman.  Haji Sulaiman masih belum sedar,  dan kelihatan kakinya berdarah.


Keluarga haji Sulaiman dihubungi segera.  Dan ibu Azhar sendiri menghubungi pihak Ambulans.

***

Hospital Kuala Lumpur.

Seminggu berlalu.  Barulah haji Sulaiman mampu untuk menjamah makanan.  Kakinya retak.  Kesan bengkak masih belum hilang.

Rupanya,  sewaktu berjalan dengan Azhar untuk pulang.  Haji Sulaiman telah merasa pening kepala,  dan sewaktu hampir ke bahagian longkang,  tiba-tiba sahaja penglihatannya gelap.

Syukur alhamudillah,  kerana diwaktu itu Azhar ada bersamanya.  Jika tidak,  besar kemungkinan sesuatu yang buruk akan berlaku jika tidak diselamatkan dari awal.


Haji Sulaiman amat berterima kasih kepada Azhar dan ibunya yang mengambil tindakan pantas menyelamatkannya.


"Azhar,  mana emak kamu?"

"Dia ada di tingkat bawah,  tengokkan adik."   sambil menundukkan kepala.

"Ha,  kenapa dengan adik kamu?"  soal Hajjah Kamsiah,  isteri haji Sulaiman.

Lalu Azhar menerangkan duduk perkara sebenar apa yang berlaku kepada adiknya yang mendapat penyakit bengkak usus.

Kesemua ahli keluarga haji Sulaiman hanya mampu menggelengkan kepala.  Bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga Azhar.

***

"Puan Sri Muniarti,  kami telah mendapat arahan dari pejabat untuk melakukan pembedahan segera ke atas anak puan,  boleh puan ke pejabat untuk tandatangan persetujuan?"   seorang Ketua Jururawat memaklumkan perkembagan terkini dan memohon Sri Muniarti untuk segera ke pejabat.

Sri Muniarti terpinga-pinga.  Namun,  dia segera ke pejabat pentadbiran hospital bersama Ketua Jururawat yang bertugas.

"Tapi tuan,  kami belum ada cukup wang ..."   Sri Muniarti terpinga-pinga.

"Sebenarnya,  pihak kami telah mendapat bayaran penuh untuk melakukan pembedahan ini ... tetapi maaf ya.  Pihak kami tidak boleh mendedahkan identiti penderma itu."    Ketua kerani bahagian pembayaran menjelaskan apa yang berlaku.


Air mata Sri Muniarti bergenang dengan kemuliaan hati penderma itu.

***


Waktu menunjukkan pukul 3 pagi.  Pintu bilik pembedahan dibuka.  Sri Muniarti terkejut.  Keluar seorang Jururawat dan terus berlalu. 

Sekali lagi pintu bilik terbuka.  Kali ini,  keluar seorang Doktor.


Sri Muniarti berdebar.  Tapi masih mampu berdiri.

"Puan,  harap bersabar ya ... pembedahan berjaya dilakukan, namun kami  masih memantu keadaannya yang masih lemah tapi stabil."  Doktor lelaki keturunan Sikh itu tersenyum menerangkan keadaan anak Sri Muniarti.


Pintu bilik terbuka sekali lagi.  Dan kelihatan Azmi sedang terbaring lemah.  Masih belum sedar sepenuhnya.


Air mata Sri Muniarti terus mengalir laju,  namun dia tetap bersyukur.


Azmi masih diletakkan didalam pengawasan rapi unit ICU.

***

Tuan haji Sulaiman dan keluarganya datang melawat Azmi yang telah di tempatkan di dalam wad biasa.

Dua buah keluarga yang begitu ceria apabila tuan haji Sulaiman telah boleh berjalan walaupun bertongkat,  manakala Azmi sudah boleh duduk dan makan dengan begitu berselera sekali.


Haji Sulaiman dan keluarga amat gembira,  kerana selain dari kesihatan haji Sulaiman yang semakin pulih.  Anak perempuanya turut selamat bersalin dan melahirkan sepasang bayi kembar.

"Nanti bila balik,  kamu kena buat kenduri kesyukuran Sri ..."   haji Sulaiman memberikan syor.


"Ya,  haji,  dan saya setiap waktu akan terus mendoakan insan berhati mulia tu akan terus mendapat kesihatan yang baik, limpahan rezeki dari Allah ... siapalah agaknya orang tu .... "   Sri bercakap dalam nada sebak.


***


Dua minggu sebelum itu.  Sewaktu pemantuan rutin oleh para Doktor.  Haji Sulaiman telah bertanya kepada seorang Doktor pakar.

"Doktor,  saya kenal dengan seseorang,  dia menghidap sakit usus yang agak teruk,  berapakah kos yang perlu dibayar untuk pembedahan?"

Setelah beberapa jam menunggu,  akhinya Doktor mengesahkan jumlah sebenar kos pembedahan dan rawatan kepada haji Sulaiman.

"Adakah tuan hendak menampung segala kos?"


Tuan Haji mengangguk.


"Ingat ya Doktor,  saya tidak mahu rahsia ini didedahkan!"


Doktor hanya mengangguk tanda faham.



No comments:

Post a Comment